Daisypath Anniversary Years Ticker

Pengikut Abang Bebel

Saturday 20 September 2008

Siti punya pasal



Kejadian ini tidak memerlukan aku untuk jadi peminat setia puan siti norhaliza sebabnya aku memang tak pernah meminati beliau. Tambah tambah selepas beliau berumah enam juta harganya. He he...sempat lagi termengumpat. Sebab tu aku malas ambil tahu pasal artis. Penuh dengan gosip yang amat malas aku nak baca. Buang masa.

Apa aku nak ceritakan kat sini berlaku semasa aku masih di bandar kuantan, tahun 1999. Ketika itu aku masih mengikuti matrikulasi di sana dibawah kendalian Pusat Asasi Universiti Malaya.

Di tengahari yang amat terik tahap kepanasannya, aku terpaksa setelah di paksa oleh encik chairul, yang merupakan housemate aku ketika itu, berjalan kaki dari Kompleks Teruntum menuju ke Megamall yang aku rasa dalam tiga kilometer jaraknya. Encik abot turut sama, jadi kami bertiga. Kami terpaksa berjalan kerana teksi sapu yang cuma mengenakan bayaran seringgit seorang hanya setakat kompleks tersebut. Selebihnya kena tambah duit la pulak. Lagi pun kami sudah biasa. Bezanya tahap kepanasan di tengahari tersebut sangat luar dari biasa. Panas!

Sesampai di megamall tersebut encik chairul terus ajak mengushar pentas utama yang tersedia rapi kat situ. Tak semena mena dia terus tersengih sengih riang sebab artis pujaan hatinya belum tiba. Dia yang tiba dulu, bermakna ada peluang bertemu dengan buah hati beliau tu, kononnya lah. Kami mengambil keputusan untuk bersiar siar mencuci mata sementara menanti cik siti dari temerloh tu sampai.

Setelah kematu kaki berjalan baru kedengaran riuh cik siti tiba. Disambut riang oleh ribuan peminat beliau. Perghh!! Kalau lah begini yang berduyun duyun ke masjid setiap hari kan bagus? Aku pun sama lah tu. Terikut jugak kehendak encik chairul yang entah hapa hapa entah. Beliau kelihatan tersengih lagi. Menikmati berapa buah lagu entah, aku pun tak pasti. Yang kelihatan cuma bayang bayang cik siti tak cukup kembang tu jek sebab manusia terlalu ramai.

Untuk dijadikan cerita, encik bodyguard yang amat ramai bilangannya mula beratur disepanjang laluan yang akan dilalui cik siti tak cukup kembang tadi berangkat pergi dari situ. Encik chairul mula gelabah. Tanganku terus ditariknya segera menuju betul betul dibelakang seorang daripada encik bodyguard tersebut. Aku tak sempat nak kira berapa orang manusia yang aku terlanggar secara tak sengaja dan ada gak yang sengaja lah, sepanjang nak menuju kebarisan tersebut.

Mulanya aku sangat tidak mengerti motif encik chairul sehinggalah beliau menghulurkan kamera kepadaku. “Nah, kau ambik gambar dia kasik cun melecun. Aku nak tengok dia sampai leleh”, ujar beliau.

Aku cuma mampu ambil kamera tersebut sambil geleng kepala. Tak rela. Dalam tak rela, aku terpaksa juga melaksanakan amanat yang diberi. Aku fokus betul betul. Aku follow betul betul pergerakkan cik siti tu sehingga dia betul betul hampir denganku. Semakin dekat dia kearahku, jantungku pulak semakin cepat berdegup. Kencang plak tu. Tapi aku tetap fokus dengan tugas yang telah diberikan. Ketika aku mahu menekan punat mengambil gambar, cik siti yang tak cukup kembang itu tersenyum manissssssss sangat sangat ke arahku. Aku cair! Tangkap leleh beb! Aku terleka dan terus lupa dengan tugasan yang diberi! Lantas aku snapkan saja kamera itu untuk menunjukkan aku melaksanakan tugas kepada encik chairul. Ketika itu cik siti dah berlalu pergi. Terpegun aku seketika. Patutlah ramai yang tergilakan beliau.

“Hoi!! Tersengih sengih plak dah! Siap leleh air liur lagik! Dapat tak gambar bogel dia? Eh, salah gambar dia kau sempat ambik tak?”, cis! Potong betul la encik chairol ni. “Sempat la, tengok tangan la”, ujarku dengan riak walaupun aku penuh ragu dengan kualiti gambar yang aku ambil tadi. Terus encik chairul ajak cuci filem tersebut, masa tu takde lagi kamera digital nih. Walaupun masih ada tiga puluh filem lagi tak digunakan, dia berkeras. Untuk tidak membazir, kami berposing sakan di shopping mall tersebut demi menghabiskannya.

Siap saja gambar dicuci, encik chairul dengan rakus membelek satu persatu album tersebut. Sampai saja ke gambar yang amat dinantikan beliau, dia menjerit. Aku terus lintang pukang menyelamatkan diri. Gambar yang kuambil terlalu dekat, nampak baju berwarna pink yang dipakai cik siti tak cukup kembang tu je. Ha ha ha

2 comments:

Izzatul Azma said...

haha
kelakar btol la ko ni :P
cair ekkk

nuridrin said...

lawak jenaka di pagi yang tak sepatotnye berjaga begini..
haha..