Daisypath Anniversary Years Ticker

Pengikut Abang Bebel

Monday 23 February 2009

ALLAH MAHA BESAR



Naik lenguh rongga mulutku menguntum senyuman diselang selikan sengihan manja kerana belum mampu untuk berhenti meraikan rasa berbunga bunga di hati hasil kegembiraan dengan keajaiban yang disaksikan sendiri oleh dua mataku dan juga seorang doktor yang sudah banyak pengalamannya mengendalikan ibu ibu mengandung.

Kalau ikut rasa hati mahu dilaungkan ketika itu juga biar seluruh dunia tahu dan sedar dengan Kebesaran dan Kekuasaan Tuhan yang baru aku saksikan. Syukur alhamdulillah.

Hatiku tak lekang mengucap syukur begitu juga turut dilafazkan lidahku dan tanganku mengurut dada menahan sedikit rasa sebak dengan moment yang baru dilalui. Terasa masa terhenti seketika dan bumi ini terhenti berpusing sebaik menyaksikan dua jasad bernyawa berlegar legar di dalam rahim ibu mereka. Satu perasaan yang sangat sukar untuk dijelaskan walau selautan kata kata disusun untuk menterjemahkannya.

Sebaik keluar dari bilik doktor keriangan terlihat di wajah kami dan tangan ini terasa sangat ringan menghantar sms kepada adik beradik serta saudara mara. Kenalan rapat tidak dilupa kerana kurasakan perasaan ini harus dikongsikan bersama mereka yang sudah banyak menabur budi padaku.

Dan pagi ini perasaan itu masih berlegar di hati dan turut dikongsi dengan rakan sekerja.

Rata rata sangat gembira mendengar perkhabaran dari aku dan isteri. Ramai yang mengusik, kamu yang membaca pasti tahu kan? Malah ada yang terloncat loncat keriangan seolah olah dia yang bakal mendapat cahayamata tersebut, seorang eksekutif plak tu.hehe...

Namun resam dunia. Resam dan ragam manusia. Sukar untuk difahami. Rasa itu tersentap sedikit apabila sms dari isteri tersayang memaklumkan betapa tegarnya seorang senior di tempat kerja beliau untuk menepis segala keajaiban yang telah aku dan isteriku saksikan dengan mata kepala kami sendiri. Dia tak percaya langsung. Itu aku tak perduli, itu hak dia. Apa yang menyentap perasaan terutamanya isteri tersayang sehinggakan terdetik di hatinya untuk buat pemeriksaan sekali lagi untuk pengesahan, ini kerana senior ini yang sudah beranak cucu seolah olah merampas rasa bahagia yang kami rasa ini dengan mengatakan apa yang kami saksikan cuma dusta semata. Dusta. Tidak benar sama sekali.

Mungkin dia punya mata sehebat superman yang mampu melihat lebih jelas apa yang telah kami saksikan semalam. Kalau aku berada disitu, pasti aku minta dia mengeluarkan data yang telah beliau scan itu.

Benar, segala apa yang kami saksikan masih diperingkat awal dan sangat perlukan penjagaan rapi dariku dan isteri. Si isteri harus menjaga diri dan aku sangat diperlukan untuk membantunya dalam misi ini. Satu misi ini mesti diusahakan. Dan si senior itu tadi sepatutnya memberi nasihat sedemikian, bukan kah lebih bermanfaat daripada mengeluarkan fatwa sendiri? Sudah kerap isteriku mengadu perihal senior ini yang seakan tak berpuas hati dengan kebahagiaan yang isteriku kecapi atas sebab yang tidak diketahui. Mengapa disimpan rasa irihati sebegini kerana ia hanya akan mendatangkan mudarat pada diri sendiri. Tiada untungnya walau satu sen pun.

Aku percaya pada Yang Maha Berkuasa yang telah memberikan segala galanya padaku. DIA sentiasa menjawab panggilanku dan tak pernah lupa untuk menunaikan permintaanku walaupun aku seringkali lalai dengan suruhanNya. Ternyata DIA tak pernah ambil hati. DIA kekalkan sifat Maha Pemurah dalam menunaikan hajat yang kupinta. Semalam DIA telah tunjukkan kekuasaanNYA. Hari ini dan hari hari berikutnya adalah menjadi tugasan aku agar apa yang aku saksikan semalam dapat disaksikan seluruh dunia apabila mereka dilahirkan dengan cukup sifat dan sihat sejahtera. Ingat lah sekalian manusia, Allah Maha Kuasa dan Dia Maha Besar!

Sunday 22 February 2009

Subhanallah...Alhamdulillah...



Tepat jam 10.15 minit pagi aku mengiringi isteri memasuki bilik pemeriksaan setelah namanya dipanggil pembantu doctor. Setelah bersoal jawab untuk beberapa ketika dengan doctor yang agak peramah walau berhijab serba hitam ala ala mak arab, aku dipanggil oleh si doctor. Saspen jugak sebab takut doctor marah aku buntingkan anak orang. Tapi aku gagahkan jua sebab aku tahu aku tak bersalah, dia kan isteriku yang sah?hehe

Jangkaan aku silap belaka.

Si doktor sedang memulakan scan keatas tubuh isteriku untuk menayangkan kepada kami buat kali pertama bakal cahayamata kami. Sebaik dihidupkan switch, tergambar lah jasad yang bergerak gerak di dalam rahim seorang ibu, isteriku lah. Tapi aku sedikit keliru sebab imej yang seakan akan terpisah antara satu sama lain. Semacam jasad tersebut terpisah antara satu sama lain. Tiba tiba si doktor menjerit sekuat hatinya "EH, ADA DUA ORANG LAAAA!!!". Aku cuma mampu tergamam. Tergamam dengan kegirangan yang ditunjukkan si doktor. Tergamam dengan keajaiban yang terpampang didepan mata. Ya, dua jasad hidup sedang berlegar legar di dalam rahim isteriku. Aku bakal menjadi ayah kepada sepasang kembar. Alhamdulillah...

Itu satu satunya yang tersembur dari mulutku sambil tersengih sengih memandang wajah isteri yang turut tersengih manja. Terasa suatu miracle berlaku dalam rumahtangga yang baru kami bina. Sememangnya kami merancang mahukan anak cepat dan mahukan dua orang dalam jarak yang sama. Alhamdulillah, doa kami cepat dimakbulkan. Bukan saja jarak yang dekat malah hampir serentak.

Selesai beramah mesra dengan doktor yang sangat peramah dan terlalu eksaited dengan apa yang baru dilihatnya, kami beredar. Ketika berada di kaunter pembayaran, gadis penjaga kaunter turut keriangan sambil bertanyakan samada kami ada keturunan yang pernah beranak kembar. Bila aku jawab tiada, "Habis tu, macamana abang buat?",tanya beliau sambil ketawa gatal. Mujur isteriku ada disebelah, kalau tidak entah apa yang kujawab.hehehe


Friday 20 February 2009

Sedapnya...



Semalam aku berjaya selesaikan urusan di SIRIM tepat jam empat setengah dan ini bermakna aku berpeluang balik dengan segera ke rumah. Tak ada maknanya nak masuk opis balik sebab tak sempat buat apa apa pun dah cukup masa untuk pulang. Kebiasaannya kerjaku bersambung di rumah. Komen cik dayu mengenai drawing beliau tak dibekalkan seperti mana yang dikehendaki mengingatkan betapa banyaknya drawing yang aku nak kena bereskan menjelang petang nanti tapi aku tetap nak bebel apa yang mengusik jiwaku petang semalam.

Aku berjaya sampai lebih awal dari biasa menjemput isteri tercinta di tempat kerjanya lantas aku mahu melunaskan hasrat di hati yang dah sekian lama ditahan untuk menikmati roti telur di satu kedai mamak yang pengurusannya orang melayu di precint 8 putrajaya. Tak tau kenapa aku rasa kat situ kuah dal dia lain macam plak sedap dan harga kat situ sangat berpatutan berbanding kedai mamak biasa. Aku bukan lah penggemar masakan mamak ni tapi sekali sekala terpaksa singgah sebab tak ada pilihan, tapi yang kat precint 8 ni lain macam sikit konsep dia. Pengurusan melayu, masakan ala mamak, waiter kebanyakan bangla.hehe

Sambil sambil tunggu roti yang dipesan, aku menjenguk kuih kuih yang ada sebab perut boleh tahan lapar walaupun tengahari dah melantak kat cafe. Aku ambil seketul cucur tepung yang ada daun apa entah aku dah lupa, panjang dan besar jugak la. Semasa mahu makan, aku mintak sos kat sorang bangla ni. "Saya pigi blakang kasi potong letak itu kuah kacang mau ka?", bagus dia ni. Dia offer macam tu plak. Aku pun ok aje la sebab dalam kepala aku bajet dia potong pastu tuang kuah kacang bersos yang aku dah biasa buat sendiri kecik kecik dulu.

Sekali datang, dia letak pinggan cucur tadi kat depan muka aku sambil sengih sengih kambing berkata "sedap ha?". Aku tengok dalam pinggan, cucur tadi dah dicincang dan memang dituangkan kuah kacang tapi dia siap cincangkan timun dan sengkuang. Dah jadi macam rojak. Tapi memang serius sangat sedap dan lazat hinggakan isteriku yang mulanya agak jual mahal tak nak rasa, rasa macam tak cukup.hehe harganya cuma lapan posen. Perut pun dah dekat nak kenyang. Elok aku abis bantai rojak, roti telur pun sampai lalu dibedal tanpa ihsan. Sayang sekali aku tak sempat nak snap gambar rojak tu tadi.hehe


p/s: kesihan melihat isteriku memuntahkan balik semua yang dia makan petang tu di malamnya. dah lah nak kena pujuk baru dapat makan. dah makan muntah balik. kalau rasa loya dan mual tu pindahkan kat aku kan bagus?huhuhu

Monday 2 February 2009

Nadal Memang Siot!



Dipaksa bekerja keras selama lebih lima jam di separuh akhir ternyata belum cukup untuk melemahkan segenap tenaga yang ada pada seorang makhluk yang bagaikan raksasa gorgon tenaganya, Rafael Nadal.

Semalam sekali lagi Nadal menghampakan idolaku encik Federer dalam perlawanan yang memakan hampir lima jam jugak la. Naik pening kepala aku tengok game ni sebab lama sangat tapi memang enjoy bila dua orang mamat ni berlawan.

Federer memang terkenal dengan skil beliau yang tersendiri terutama bila bermain di hard court, tetapi selalu sangat kalah bulu dengan Nadal yang entah dari mana dan bagaimana beliau mendapatkan tenaga yang sebegitu kuat dan mengekalkan momentum setiap kali bertemu Federer.

Berbagai helah digunakan oleh Federer yang tampak seakan berhasil tetapi pasti dapat diatasi oleh semangat kental Nadal yang sememangnya tidak mahu mengalah. Ini dapat dilihat terutamanya pada set ke empat dimana Federer tampak menemui sentuhan berbisa apabila menumpaskan Nadal 6-3. Sebelumnya berpihak kepada Nadal 7-5, 3-6, 7-6.


Kelihatan cool je beliau kan? time ni masih ada harapan lagi...


Namun, set ke lima yang kujangkakan bakal dimenangi mudah oleh Federer berjaya dikuasai mudah oleh Nadal. Dia kelihatan mendapat tenaga dan semangat baru manakala Federer tampak semakin hilang pedoman kerana apa yang cuba beliau lakukan serba tak menjadi malah diselang selikan dengan kesilapan yang memberikan mata mudah terhadap Nadal. Keputusan set akhir, Nadal mudah menang 6-3.

Memang aku salute sportmanship yang ditunjukkan oleh Nadal dan Federer ni. Walaupun Federer kalah, dia tetap pujaanku manakala Nadal pula tampak semakin sukar ditandingi kerana tenaga dan semangat luar biasa yang ada padanya kelihatan lebih berbisa berbanding skil yang ada pada Federer.


Buruk betul rupa hero sorang ni bila nangis.kesian...hehe

Alangkah bagusnya kalau ada dikalangan ahli sukan di negara kita ni mempunyai ciri ciri seperti mereka. Tak usah sebut pasal team bolasepak yang berangan hendak melayakkan diri ke piala dunia tapi masih di takuk lama, tapi bagaimana sukan lain? Setakat ini cuma skuasy yang menampakkan konsistensi dalam mengharumkan nama negara dan membayar balik pelaburan rakyat malaysia terhadap mereka. Yang lain? Ada lah, team basikal yang sekejap naik sekejap turun. Begitu juga team badminton dan bowling.

Di mana silapnya? Siapa yang bertanggungjawab? Persoalan yang sering diajukan namun tak punya jawapan muktamad. Duit rakyat dibelanjakan sewenangnya oleh atlit atlit dengan berbagai jenis peruntukkan, tetapi hasilnya? Nilaikan lah sendiri. Yang peliknya semakin banyak duit dibelanjakan saban tahun walaupun hasilnya tak seberapa. Alangkah baiknya kalau duit itu digunakan untuk golongan yang tak berumah? Golongan yang merempat di kaki lima semata mata mahu mendapatkan ihsan pasti sangat bersyukur kalau dana tersebut digunakan untuk mereka.

Ini tidak, pemimpin yang dikatakan berjiwa rakyat megah dengan rumah bagaikan istana. Bersenang lenang di tampuk kekuasaan masing masing tanpa ada rasa bersalah terhadap rakyat yang masih merempat tak cukup serba serbi. Bila tiba masa untuk meraih undi baru menebalkan muka menjenguk rakyat yang sudah semakin muak dengang janji manis mereka ini. Kata nak sama sama susah dengan rakyat, tapi, kehulu kehilir diiringi berpuluh polis trafik supaya mereka ini dapat bergerak lancar tak kira masa sedangkan kita rakyat yang mengundi dipandang seperti sampah yang bersesak dalam traffic jam. Apa nak jadi dengan Malaysia ni nanti, tunggu dan lihat aje lah. Tak pasal pasal aku membebel ke politik plak.huhu...

P/S: Kepenatan menonton game Federer-Nadal dan takut kekalahan turut menimpa Liverpool memaksa aku tidur awal malam tadi kerana tak sanggup lagi meratap kekalahan atau keserian team Liverpool ni. Mujur pagi pagi lagi aku check result, menang bergaya 2-0 pasukan kesayanganku ini.hehe