Daisypath Anniversary Years Ticker

Pengikut Abang Bebel

Tuesday, 26 October 2010

Paul The Octopus Meninggal Dunia





Encik Paul the Octopus ditemui mati dalam akuarium yang dihuninya semalam dalam usia dua tahun sembilan bulan. Encik Paul menjadi topik bualan hangat semasa kempen piala dunia yang baru lepas, sehinggakan orang lebih banyak bercerita tentangnya berbanding pemain bertaraf bintang seperti lionel messi dan fernando torres.

Berita ni mesti menjadi cerita paling tak sedap didengar bagi kaki judi yang berpandukan petunjuk dr encik paul ni. Serius, aku ingat dulu encik paul ni salah seorang bookie tetapi rupanya memang betul seekor sotong kurita. Satu lagi tanda kebesaran ciptaan Allah, yang sayangnya telah disalahgunakan oleh pihak yang lebih pentingkan keuntungan.

Takda apa apa motif pun nak publish ini cerita, entah kenapa rasa terkejut masa dapat tahu kisah encik paul yang telah pergi buat selamanya dan pastinya dia terdiri dari kalangan sotong yang paling bertuah sebab isinya tak akan dimakan sebab sudah tentu akan diawet oleh tuan empunya encik sotong ni dan secara tak langsung menarik lebih lagi publisiti. Biarlah...asal mereka bahgia kan?






Wednesday, 20 January 2010

Aku Mengaku Aku Penagih Tegar....


Ini memang pengakuan berani mati.

Kalau kalian perasan, aku sudah semakin jarang nak mengupdate blog yang tak seberapa ini. Sebab utama memang lah kerana kerja yang baru ni tak mengizinkan aku nak online siang siang sebab sibuk berjumpa orang itu orang ini orang situ dan orang sini.

Tapi sebab utamanya, aku dah ketagih dengan satu benda ni. Kalau aku tak merasa dalam sehari tu sememangnya aku terasa hidup ini tidak akan lengkap. Bukan ketagih dadah ok!

Ketagihan ini memerlukan aku online setiap hari, bermakna ianya sangat menyiksakan diwaktu siang hari kerana bebanan kerja. Balik dari berjumpa orang, sampai dirumah pun bukannya boleh terus online. Kalau tak tolong apa yang patut kat rumah tu, aku kena segera siapkan paperwork. Kadang kadang balik menjelang maghrib, badan dah penat. Nak kena rehat rehatkan dulu.

Tapi selalunya aku tak peduli dengan badan penat tu, aku redah je demi ketagihan yang satu ini. Dengan penuh rasa rendah dirinya aku mengaku dengan muka tersipu sipu bahawa aku dah ketagihan Mafia Wars kat dalam facebook tu. Sumpah aku tak nak mulakan bermain game lain dalam fb tu sebab tak nak ketagihan ni bertambah teruk. Cukup lah satu game ni yang buat aku tak cukup tido, dah masuk lima bulan rasanya aku terjebak ni.hehe

Bermula lepas aku kena berenti kerja ari tu, aku mula update balik fb aku yang sejak mula aku register dulu tak pernah buat apa apa. Dari situ la aku perasan yang kawan kawan aku duk gila dengan macam macam game ni. Aku malas nak join sebab tak rasa macam benda tu best pun.

Tapi di satu hari yang aku sendiri tak tahu akan menjadi detik mula ketagihan aku ni, aku menggatalkan tangan untuk tekan link ke mafia wars. Kat situ aku tak tahu nak buat apa, tekan je lah jobs yang ada kat situ. Lepas tu tekan tekan lagi attack orang lain. Rasa macam bongok tongong pun ada sebab tak buat apa apa pun boleh menang dengan begitu mudah. Kat mana tah mafianya. Pastu kena collect macam macam senjata pulak lagi. tapi aku layan la jugak tanpa disedari semakin lama semakin naik syok pulak dah.hehe...

Hari pertama tu aku rasa aku mengadap laptop tu lebih 5 jam dengan bermain mafia sahaja! Bermula detik itu lah aku dah semakin jarang nak update blog ni. Bermula dari level 1 dengan hanya 10 orang geng dalam mafia tu, sekarang ni aku dah nak masuk level 300 dengan tag team aku dah dekat 2000 orang!!! Gila tak gila?

Sila lah nasihatkan saya yang sedang dilalaikan oleh fb ini agar dapat saya berhenti segera!hehe...cakap je, kompom orang nasihat apa pun aku main jugak sampai tahap bosan yang aku tak tau bila bakal menjelang. Yang pasti mamat yang cipta game ni memang dari jenis genius untuk menjahanamkan umat Islam agar semakin lalai. Setakat ni aku takde la sampai tahap tak solat tak posa kan...harap biar sampai bila bila game ni sekadar pengisi masa lapang atau untuk merehatkan diri.hehe...

Atau korang ada petua nak hentikan bermain game sebegini? Sila lah lempang muka aku ni dengan petua petui korang tu.hehehe...



Wednesday, 13 January 2010

Mari MelencongMelancong: Menara Kuala Lumpur



Bayaran Masuk:

Dewasa: RM38
Kanak kanak: RM28




Sengaja aku taruk harga dulu biar orang gerun sikit.hehe...

Bulan Jun 2010 ini nanti genap 10 tahun aku di bandaraya negara yang tersayang ni, dan atas sebab itu je yang buat aku nak jugak pegi menara kl ni ari tu, masa tu cuti tahun baru rasanya - 2 januari 2010. Sebelum pegi tu memang la gugel jugak tengok berapa harga tiket nak naik menara nan ado tinggi tu. Memang ada lah satu website ni kata RM8 je sorang, masih sama dengan harga 10 tahun lepas konon nya lah. Masa tu ada member member ajak naik tapi aku malas nak layan sebab rasa macam takda benda sangat kat menara tu.

Entah macamana dan bagaimanakah aku sendiri pun tak tahu kenapa hati ni terasa gatal nak panjat menara ketiga paling tinggi dalam dunia tu, kalau aku tak silap lah. Sampai je kat kaunter tiket, aku dan isteri tercengang melihatkan harga tiket yang terpampang - RM38!

Aku dah nak berpatah balik dah, tapi rasa berat hati mengenangkan si isteri dan anak dalam kandungan dah pun sampai ke tempat kejadian tapi tak jadi nak naik. Rasa macam ralat semacam je. Nak tak nak, mahu tak mahu terpaksa pejam mata bayar tiket dan naik lif menujuk puncak menara yang konon gah itu. Memang gah pun, cuma rasa terbeban pulak dengan harga tiket yang melampau tu. Diharap pihak yang berkenaan dengan penyelarasan harga tiket tu terbaca lah luahan hati aku ni.hehe...Mana tau, boleh claim balik duit tu.hahaa

Bagi yang dah biasa melawat tapak tapak binaan macam aku ni, tak ada apa yang menarik kat atas menara kl tu. Cuma bezanya pemandangan seluruh bandaraya kl dapat dilihat dari berbagai sudut dengan sangat mudah. Tak perlu bersusah payah nak carik angle menarik, masalah bila aku berada di tapak binaan.hehe

Paling best ada isteri bersama dan boleh ambil gambar didepan menara berkembar petronas yang terletak tak jauh dari menara kl tu. Cuma nasib tetap tak menyebelahi diriku, tak dapat gak ambil gambar depan twin tower kebanggaan tu sebab isteri dah mula pening dan nak pitam. Berhenti rehat seketika sebelum segera turun, sebab dikhuatiri berada di tempat tinggi menyebabkannya pening begitu. Ternyata benar belaka, sampai je kat bawah, setelah minum seteguk dua air jernih dia kembali normal.

Sempat lah berjalan tengok haiwan ternakan dalam mini-zoo kat situ yang mana termasuk dalam pakej RM38 tadi. Ada kuda tapi boleh naik kalau berat badan kurang 50kg! Cis, melepas nak berkuda keliling bandar kl.hehe...

Tapi ada satu benda je yang buat aku rasa boleh bayar balik harga tiket yang dah terbayar tadi tu. Ada peluang nak merasa bawak keta F1! Memang aku tak lepaskan peluang. Walaupun kereta yang dia letak tu tak lah sehebat rupa sebenar F1, tapi memang terasa betul masa drive tu. Paling best, puas aku baca jampi serapah agar dapat naik 'keta' McLaren dan memang dapat naik pun. Paling sweet, aku yang mula dari tempat paling last berjaya memenangi perlumbaan 3 pusingan walaupun melanggar secara kurang sengaja 'keta' ferrari masa dekat nak sampai penamat.haha...

Itu lah nilai RM38 yang kami bayar setiap seorang. Aku sorang je naik 'keta' tu sebab dah selalu sangat berangan nak bawak. Isteri tersayang yang dah mula penat tunggu je penuh sabar dengan kerenah suami yang memang macam budak budak punya perangai. Nanti memang berlumba lah dengan perangai anak anak sendiri, baru padan muka aku.hehe...





Penuh konsentrasi tu!hehe

Tuesday, 29 December 2009

Perggghhh!




**Tak salah kalau aku berangan kan?hehe...

**Kepada tuan empunya kenderaan idaman setiap insan ini, sila halalkan lah sesi bergambar tanpa izin ni eh?hehe...ala, sebenarnya ramai lagi yang ambik gambar free kat situ tau? Sebab tu aku jadi berani je.betul ni tuan empunya hummveee...hehe...

Friday, 30 October 2009

Labbaikallahumma labbaik

Labbaikallahumma labbaik,
Labbaikala sharikala kalabbaik,
Innalhamda wanni'mata laka walmulk,
La sharikalak

Hambamu datang menyambut panggilan-Mu,
Ya Allah hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu
Sesungguhnya segala puji-pujian dan nikmat
dan kerajaan adalah kepunyaan-Mu yang tiada sekutu bagi-Mu



Musim haji tiba lagi dan berjuta juta umat Islam yang bertuah berlumba lumba untuk berkunjung ke Tanah Suci Mekah. Masing masing punya kisah dan jalan cerita tersendiri sebelum dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam yang kelima dan juga untuk berada lebih dekat lagi dengan Yang Maha Berkuasa.

Setiap kali melihat gambar Kaabah dan orang yang berpusu pusu mengerjakan ibadah haji atau umrah, hati jadi sebak tiba tiba sambil berdoa agar giliranku cepat menjelma untuk menjejak kaki ke Tanah Suci.

Doaku mengiringi pemergian setiap insan bertuah yang berpeluang berkunjung ke Tanah Suci tahun ini agar mendapat haji yang mabrur. Insya'Allah...

















**Bila lah pula berpeluang menziarahi pusara arwah nenek disana? Al-Fatihah buat Hjh Dara Binti Unis yang meninggal dunia di Tanah Suci Mekah pada tahun 1992. Semoga dia mendapat syurga Allah. Amin

Wednesday, 21 October 2009

Bagi Mereka, Duit Hanyalah Kepingan Kertas

Pasti ramai yang berangan macam macam perkara yang hendak dilakukan dengan duit yang muncul berlonggokan didepan mata secara tiba tiba, kan? Tapi diorang ni relaks je, macam takde perasaan je tengok duit yang memang dah berlonggok longgok didepan mata. Kalau aku lah kan...hehe


Monday, 19 October 2009

Cepat Tapi Lambat

Sememangnya aku memang paling pantang dalam bab menunggu dan ditunggu orang ni. Kalau berjanji nak berjumpa baik dengan kawan kawan atau orang orang berkaitan kerja, aku akan sentiasa pastikan aku datang paling lewat pun setengah jam sebelum masa dijanjikan. Sebabnya aku tak suka masa aku terbuang dan sebab tu aku pun tahu orang yang akan tunggu aku berperasaan yang sama. Tapi memang susah la nak dapat jumpa orang yang on time ni.

Selalunya aku memang akan tercanguk melangut menunggu bagaikan menunggu buah hati pengarang jantung. Pada hal tunggu orang nak bukakan pintu je. Itu salah satu contoh di tempat kerja la. Tapi yang peliknya orang kita ni, kalau time pergi kerja boleh pulak on time. Itu pun selalu jugak punch card merah. Tapi time balik kerja, itu time orang kita paling peka dan tak akan lambat. Sama jugak time gaji keluar, tak ada masalah nak beratur cucuk duit kat atm tu.

Cerita pasal masa ni aku teringat satu kisah yang pernah encik bos aku ceritakan. Kononnya satu tempat di India, ada sebuah keretapi ni dikehendaki sampai di satu stesyen tepat jam 9.30 malam. Tapi setiap hari orang akan tunggu sampai dua tiga jam baru lah sampai. Setiap hari pun sama sampaikan orang dah lali dah. Tiba tiba di satu hari, keretapi ni sampai tepat jam 9.30 malam! Orang ramai pun berkerumun lah kat operator keretapi tu ucapkan tahniah. Semua pakat suka lah kan. Alih alih si operator ni cakap, "keretapi ni patut sampai 9.30 malam tadi!".

Semua orang tercengang. Rupanya keretapi tu dah 24 jam lewat. Tak ke naya tu?hehe...

Apa kena mengena cerita ni dengan tujuan asal aku membebel tadi ni pun aku tak tau tapi yang pastinya aku memang tak suka bab menunggu ni. Menunggu durian jatuh pun aku malas. Kalau dah jatuh tu aku kutip la, tapi nak menunggu kat bawah pokok tu jangan harap. Aku jolok ada lah.hehe...

Harapanku yang amat mustahil lah untuk tertunai, agar orang yang terlibat dalam hidupku mahupun yang tak terlibat, agar peka dengan masa. Jangan lah dibiarkan orang tertunggu tunggu. Kalau agak agak tak boleh nak tepati masa, boleh je bagitau kat orang tu mintak tangguh atau bagi spesific time, bila boleh sampai. Yela, kita tak tahu apa yang boleh jadi dalam perjalanan tu kan. Jadi, bila dah rasa diri terlambat jangan lupakan orang yang menunggu kita. Sekian saja lah adanya.hehe








Wednesday, 14 October 2009

Motor Lelong: Ada Berani?





MOTOR LELONG: Kalau ada pun yang nak beli motor macam ni, baik pikir betul betul. Rasa macam sama je macam basikal sarkis yang ada 1 tayar je tu.hehe

Tuesday, 13 October 2009

Cara Mudah Cari Duit Banyak Banyak Banyaks...






Kreatif betul diorang ni kan? Tapi seteruk teruk rupa gaya hidup diorang tu rasanya takda la sampai tergamak nak pecah masuk rompak rumah orang. Malam tadi rumah aku tu nyaris nak kena ganyang dengan jenis manusia yang tak pikir panjang ni. Mujur lah tak ada apa apa yang jadi dan tak ada barang yang hilang. Bukan ada apa pun dalam rumah aku tu yang boleh dia ambik dan terus jual dapat duit berkoyan.

Tapi naluriku kuat mengatakan beliau cuba mencari kunci encik getz, mujur kunci diletakkan jauh dari pintu depan ruang tamu tu. Pagi pagi tadi isteriku terpekik pekik tuduh aku tak tutup pintu malam tadi. Cuak gak aku. Turun turun tengok pintu ternganga luas termasuk daun pintu yang sangat jarang dibukak. Mujur gril ber-padlock dan tak dapat nak diumpil.

Walau apa pun aku bersyukur sangat tak ada benda benda atau kejadian yang tak baik berlaku kat rumah tu malam tadi. Selepas ini kena lebih berjaga jaga dan yang pasti langkah keselamatan yang lebih ketat harus aku pertimbangkan. Ada camera cctv yang kawan aku bagi 2 ke 3 tahun lepas, sampai sekarang aku tak sempat nak pasang lagi. Tengok la lepas ni macamana tapi security kat taman perumahan yang aku duduk tu memang nak kena sound la balik ni kang. Petang petang ngan lepas maghrib aku perasan diorang memang ada meronda. Tapi time tengah malam aku tak perasan pulak. Yang tido kat pondok guard tu memang aku perasan sangat sangat. Tengok lah nanti, kot kot aku nak buat gaya macam orang orang kat atas ni, letak kat pagar rumah poster besar besar macam kat bawah ni.hehe...