Daisypath Anniversary Years Ticker

Pengikut Abang Bebel

Friday, 20 March 2009

Kameha Meha Mehakkk....






Sesungguhnya aku sangat teringin nonton ini cerita yang sudah dimoviekan akan tetapi keadaan sangat tidak mengizinkan kerana ramai yang menegah isteri tersayang menonton wayang atas alasan yang agak munasabah. Tak tau la bagus tak bagus cerita ni bila difilemkan tapi aku tetap berkeinginan untuk menontonnya kerana telah sekian lama menggemari versi kartunnya.

Bayangkan, semasa tahun pertama dan kedua di unibersiti dulu aku sanggup mengorbankan masa tidurku di awal pagi sabtu dan ahad semata mata mahu menonton siri kartun dragonball ini di TV2. Masa tu belum boleh nak download cerita cerita dari internet. Masih baru lagi dunia IT masa tu. Atau aku yang tak tahu, aku pun tak pasti.hehe

Sampai la tahun tiga, baru aku berenti sebab berjaya mendapatkan siri kartun tersebut sampai ke zaman goku dah jadi supersaiya. Supersaiya ke supersaya? Ke supersayya? Mana mana aja lah. Janji korang paham siapakah gerangan yang aku maksudkan. Bila dah dapat bekalan siri katun ni, tak henti henti plak aku menelaah kat depan pc masa tu sebab nak tahu bagaimanakah pengakhiran kisah kesukaanku tersebut. Walau semakin tak logik jalan ceritanya tapi aku tetap suka tanpa sebab yang boleh dijelaskan. Cuma mereka yang berjiwa kanak kanak seperti aku yang paham kot.hehe

Yang buat aku termembebel pasal ni ialah aku teringat satu kisah yang menimbulkan sedikit keaiban pada diriku akibat menonton dragonball nih.

Suatu pagi sabtu atau ahad, aku seperti biasa menyambung tidur selepas subuh. Jam tak lupa dikunci agar segera bangun jam 8.15 pagi kerana dragonball bermula jam 8.30. Rasa rasanya lah. Pagi yang malang tersebut, aku terjaga tepat jam 8.30! Aku apa lagik, terus menerjunkan diri dari katil dan segera turun menuju kebilik tv yang letaknya kat tingkat bawah hostel tempat aku menginap. Nak dijadikan cerita aib, dalam perjalanan menuju kebilik tv tersebut aku berselisih dengan sekumpulan awek yang menginap di blok sebelah tapi entah kenapa tiba tiba merayap kat blok aku plak. Mulanya aku nak kontrol kiut tetapi riak wajahku tiba tiba terasa membahang kerana semua yang berada dalam kumpulan tersebut ketawa mengekek tapi kontrol cun dengan mata menjeling kearahku.

Cis! Aku tau la aku tak hensem tapi manis ada tau! Jeritku dalam hati. Tanpa memperdulikan mereka, aku terus masuk ke bilik tivi kerana takut ketinggalan menyaksikan cerita kegemaran.

Sesampai di bilik tivi baru lah aku sedar keadaan diri yang sebenar. Rupa rupanya aku sekadar berseluar pendek yang teramat pendek dan singlet yang teramat lah menayangkan bodyku yang tegap sasa, dalam usahaku berlari ke bilik tivi tadi. Tak lupa, ditanganku ada bantal busuk yang sangat diperlukan ketika menonton. Apa lagik, aku terus malu sendiri. Tapi cerita tu tetap aku layan. Yang pastinya, aku sangat kenal geng awek tadi tu. Setiap kali berselisih dengan geng ni atau sebahagian dari mereka, aku cepat cepat sorok muka dalam seluar. Kadang kadang tu kalau nampak diorang dalam sepuluh batu lagi aku dah siap cabut dah.hehe

Ini semua dragonball punya pasal. Nanti aku carik DVD versi murah cerita ni.hehe

Wednesday, 18 March 2009

Vandalisme








Kesian si pisang, dah tinggal kulit pun orang yang memakannya seakan tak berpuas hati dengan menyiat nyiat kulitnya sebegitu rupa. Mungkin si pelaku cuba menunjukkan kreativiti beliau dan biasanya kekreativitian ini akan berlanjutan di kawasan milik awam yang mengakibatkan jamban jamban berconteng, lif pun sama, talipon awam tinggal tiang dan macam macam lagi. Sama lah kesnya dengan si pisang. Dah lah isinya lunyai diganyang, tindakan pelaku seakan geram kerana tak dapat meratah sama kulit si pisang. Entri ini tiada apa apa motif untuk mengaibkan si pendera kulit pisang, sekadar mengingatkan masyarakat kita ni punya mentaliti untuk merusuh tanpa sebab yang konkrit dan yang jadi mangsa biasanya kelengkapan awam yang sangat sangat diperlukan di kala kecemasan.




Monday, 16 March 2009

Pertemuan

Sayang,
seakan baru sesaat
kau hadir dalam hidup
seakan baru seminit
kita bersua mesra
seakan baru semalam
janji dimeterai
atas satu perhubungan
yang digalas harapan
menjadi suatu ikatan suci

Sayang,
seakan baru semalaman
saat aku membulatkan tekad
mengikat hubungan
yang dah tak terbendung lagi
melimpah ruah kasih sayang
manis dengan senda gurau
ditabur rasa rindu dendam

Sayang,
aku pasti
sebaik ikatan suci termeterai
hanya yang indah menanti kita
tak kira apa jua halangan menduga
pasti mampu ditempuh bersama
asal kita pegang pada janji
asal kukuhkan kasih sayang
asal hati sentiasa rindu
biar jarak sentiasa cemburu

Sayang,
detik itu kini tinggal kenangan
tapi bukan kasih sayang kita
berbagai halangan diharungi bersama
namun

istana bahagia tersergam jua
bersama kita hiasinya
bersama kita pertahankannya
bersama kita menikmati
keindahannya

Sayang,
andai perpisahan ditakdirkan
biarlah ia
perpisahan nyawa
kerana kita tak mampu
melawan kekuasaanNYA
dan
andai saat itu tiba
aku tak mahu pergi dulu
atau biar kau pergi
kerana
aku takkan dapat bernafas
walau sesaat
kau tiada disisiku
kalau boleh biar kita pergi bersama
kalau boleh biar kita tetap bersama
di alam sebelah sana
bersama selamanya




Thursday, 5 March 2009

Sape Kata Beruk Duduk Dalam Hutan Je?



Lokasi: Tengah Bandar KL, simpang empat depan Maju Junction
Masa: 2.05 petang
Tarikh: Minggu lepas, ari rabu mungkin











Monday, 23 February 2009

ALLAH MAHA BESAR



Naik lenguh rongga mulutku menguntum senyuman diselang selikan sengihan manja kerana belum mampu untuk berhenti meraikan rasa berbunga bunga di hati hasil kegembiraan dengan keajaiban yang disaksikan sendiri oleh dua mataku dan juga seorang doktor yang sudah banyak pengalamannya mengendalikan ibu ibu mengandung.

Kalau ikut rasa hati mahu dilaungkan ketika itu juga biar seluruh dunia tahu dan sedar dengan Kebesaran dan Kekuasaan Tuhan yang baru aku saksikan. Syukur alhamdulillah.

Hatiku tak lekang mengucap syukur begitu juga turut dilafazkan lidahku dan tanganku mengurut dada menahan sedikit rasa sebak dengan moment yang baru dilalui. Terasa masa terhenti seketika dan bumi ini terhenti berpusing sebaik menyaksikan dua jasad bernyawa berlegar legar di dalam rahim ibu mereka. Satu perasaan yang sangat sukar untuk dijelaskan walau selautan kata kata disusun untuk menterjemahkannya.

Sebaik keluar dari bilik doktor keriangan terlihat di wajah kami dan tangan ini terasa sangat ringan menghantar sms kepada adik beradik serta saudara mara. Kenalan rapat tidak dilupa kerana kurasakan perasaan ini harus dikongsikan bersama mereka yang sudah banyak menabur budi padaku.

Dan pagi ini perasaan itu masih berlegar di hati dan turut dikongsi dengan rakan sekerja.

Rata rata sangat gembira mendengar perkhabaran dari aku dan isteri. Ramai yang mengusik, kamu yang membaca pasti tahu kan? Malah ada yang terloncat loncat keriangan seolah olah dia yang bakal mendapat cahayamata tersebut, seorang eksekutif plak tu.hehe...

Namun resam dunia. Resam dan ragam manusia. Sukar untuk difahami. Rasa itu tersentap sedikit apabila sms dari isteri tersayang memaklumkan betapa tegarnya seorang senior di tempat kerja beliau untuk menepis segala keajaiban yang telah aku dan isteriku saksikan dengan mata kepala kami sendiri. Dia tak percaya langsung. Itu aku tak perduli, itu hak dia. Apa yang menyentap perasaan terutamanya isteri tersayang sehinggakan terdetik di hatinya untuk buat pemeriksaan sekali lagi untuk pengesahan, ini kerana senior ini yang sudah beranak cucu seolah olah merampas rasa bahagia yang kami rasa ini dengan mengatakan apa yang kami saksikan cuma dusta semata. Dusta. Tidak benar sama sekali.

Mungkin dia punya mata sehebat superman yang mampu melihat lebih jelas apa yang telah kami saksikan semalam. Kalau aku berada disitu, pasti aku minta dia mengeluarkan data yang telah beliau scan itu.

Benar, segala apa yang kami saksikan masih diperingkat awal dan sangat perlukan penjagaan rapi dariku dan isteri. Si isteri harus menjaga diri dan aku sangat diperlukan untuk membantunya dalam misi ini. Satu misi ini mesti diusahakan. Dan si senior itu tadi sepatutnya memberi nasihat sedemikian, bukan kah lebih bermanfaat daripada mengeluarkan fatwa sendiri? Sudah kerap isteriku mengadu perihal senior ini yang seakan tak berpuas hati dengan kebahagiaan yang isteriku kecapi atas sebab yang tidak diketahui. Mengapa disimpan rasa irihati sebegini kerana ia hanya akan mendatangkan mudarat pada diri sendiri. Tiada untungnya walau satu sen pun.

Aku percaya pada Yang Maha Berkuasa yang telah memberikan segala galanya padaku. DIA sentiasa menjawab panggilanku dan tak pernah lupa untuk menunaikan permintaanku walaupun aku seringkali lalai dengan suruhanNya. Ternyata DIA tak pernah ambil hati. DIA kekalkan sifat Maha Pemurah dalam menunaikan hajat yang kupinta. Semalam DIA telah tunjukkan kekuasaanNYA. Hari ini dan hari hari berikutnya adalah menjadi tugasan aku agar apa yang aku saksikan semalam dapat disaksikan seluruh dunia apabila mereka dilahirkan dengan cukup sifat dan sihat sejahtera. Ingat lah sekalian manusia, Allah Maha Kuasa dan Dia Maha Besar!

Sunday, 22 February 2009

Subhanallah...Alhamdulillah...



Tepat jam 10.15 minit pagi aku mengiringi isteri memasuki bilik pemeriksaan setelah namanya dipanggil pembantu doctor. Setelah bersoal jawab untuk beberapa ketika dengan doctor yang agak peramah walau berhijab serba hitam ala ala mak arab, aku dipanggil oleh si doctor. Saspen jugak sebab takut doctor marah aku buntingkan anak orang. Tapi aku gagahkan jua sebab aku tahu aku tak bersalah, dia kan isteriku yang sah?hehe

Jangkaan aku silap belaka.

Si doktor sedang memulakan scan keatas tubuh isteriku untuk menayangkan kepada kami buat kali pertama bakal cahayamata kami. Sebaik dihidupkan switch, tergambar lah jasad yang bergerak gerak di dalam rahim seorang ibu, isteriku lah. Tapi aku sedikit keliru sebab imej yang seakan akan terpisah antara satu sama lain. Semacam jasad tersebut terpisah antara satu sama lain. Tiba tiba si doktor menjerit sekuat hatinya "EH, ADA DUA ORANG LAAAA!!!". Aku cuma mampu tergamam. Tergamam dengan kegirangan yang ditunjukkan si doktor. Tergamam dengan keajaiban yang terpampang didepan mata. Ya, dua jasad hidup sedang berlegar legar di dalam rahim isteriku. Aku bakal menjadi ayah kepada sepasang kembar. Alhamdulillah...

Itu satu satunya yang tersembur dari mulutku sambil tersengih sengih memandang wajah isteri yang turut tersengih manja. Terasa suatu miracle berlaku dalam rumahtangga yang baru kami bina. Sememangnya kami merancang mahukan anak cepat dan mahukan dua orang dalam jarak yang sama. Alhamdulillah, doa kami cepat dimakbulkan. Bukan saja jarak yang dekat malah hampir serentak.

Selesai beramah mesra dengan doktor yang sangat peramah dan terlalu eksaited dengan apa yang baru dilihatnya, kami beredar. Ketika berada di kaunter pembayaran, gadis penjaga kaunter turut keriangan sambil bertanyakan samada kami ada keturunan yang pernah beranak kembar. Bila aku jawab tiada, "Habis tu, macamana abang buat?",tanya beliau sambil ketawa gatal. Mujur isteriku ada disebelah, kalau tidak entah apa yang kujawab.hehehe


Friday, 20 February 2009

Sedapnya...



Semalam aku berjaya selesaikan urusan di SIRIM tepat jam empat setengah dan ini bermakna aku berpeluang balik dengan segera ke rumah. Tak ada maknanya nak masuk opis balik sebab tak sempat buat apa apa pun dah cukup masa untuk pulang. Kebiasaannya kerjaku bersambung di rumah. Komen cik dayu mengenai drawing beliau tak dibekalkan seperti mana yang dikehendaki mengingatkan betapa banyaknya drawing yang aku nak kena bereskan menjelang petang nanti tapi aku tetap nak bebel apa yang mengusik jiwaku petang semalam.

Aku berjaya sampai lebih awal dari biasa menjemput isteri tercinta di tempat kerjanya lantas aku mahu melunaskan hasrat di hati yang dah sekian lama ditahan untuk menikmati roti telur di satu kedai mamak yang pengurusannya orang melayu di precint 8 putrajaya. Tak tau kenapa aku rasa kat situ kuah dal dia lain macam plak sedap dan harga kat situ sangat berpatutan berbanding kedai mamak biasa. Aku bukan lah penggemar masakan mamak ni tapi sekali sekala terpaksa singgah sebab tak ada pilihan, tapi yang kat precint 8 ni lain macam sikit konsep dia. Pengurusan melayu, masakan ala mamak, waiter kebanyakan bangla.hehe

Sambil sambil tunggu roti yang dipesan, aku menjenguk kuih kuih yang ada sebab perut boleh tahan lapar walaupun tengahari dah melantak kat cafe. Aku ambil seketul cucur tepung yang ada daun apa entah aku dah lupa, panjang dan besar jugak la. Semasa mahu makan, aku mintak sos kat sorang bangla ni. "Saya pigi blakang kasi potong letak itu kuah kacang mau ka?", bagus dia ni. Dia offer macam tu plak. Aku pun ok aje la sebab dalam kepala aku bajet dia potong pastu tuang kuah kacang bersos yang aku dah biasa buat sendiri kecik kecik dulu.

Sekali datang, dia letak pinggan cucur tadi kat depan muka aku sambil sengih sengih kambing berkata "sedap ha?". Aku tengok dalam pinggan, cucur tadi dah dicincang dan memang dituangkan kuah kacang tapi dia siap cincangkan timun dan sengkuang. Dah jadi macam rojak. Tapi memang serius sangat sedap dan lazat hinggakan isteriku yang mulanya agak jual mahal tak nak rasa, rasa macam tak cukup.hehe harganya cuma lapan posen. Perut pun dah dekat nak kenyang. Elok aku abis bantai rojak, roti telur pun sampai lalu dibedal tanpa ihsan. Sayang sekali aku tak sempat nak snap gambar rojak tu tadi.hehe


p/s: kesihan melihat isteriku memuntahkan balik semua yang dia makan petang tu di malamnya. dah lah nak kena pujuk baru dapat makan. dah makan muntah balik. kalau rasa loya dan mual tu pindahkan kat aku kan bagus?huhuhu

Monday, 2 February 2009

Nadal Memang Siot!



Dipaksa bekerja keras selama lebih lima jam di separuh akhir ternyata belum cukup untuk melemahkan segenap tenaga yang ada pada seorang makhluk yang bagaikan raksasa gorgon tenaganya, Rafael Nadal.

Semalam sekali lagi Nadal menghampakan idolaku encik Federer dalam perlawanan yang memakan hampir lima jam jugak la. Naik pening kepala aku tengok game ni sebab lama sangat tapi memang enjoy bila dua orang mamat ni berlawan.

Federer memang terkenal dengan skil beliau yang tersendiri terutama bila bermain di hard court, tetapi selalu sangat kalah bulu dengan Nadal yang entah dari mana dan bagaimana beliau mendapatkan tenaga yang sebegitu kuat dan mengekalkan momentum setiap kali bertemu Federer.

Berbagai helah digunakan oleh Federer yang tampak seakan berhasil tetapi pasti dapat diatasi oleh semangat kental Nadal yang sememangnya tidak mahu mengalah. Ini dapat dilihat terutamanya pada set ke empat dimana Federer tampak menemui sentuhan berbisa apabila menumpaskan Nadal 6-3. Sebelumnya berpihak kepada Nadal 7-5, 3-6, 7-6.


Kelihatan cool je beliau kan? time ni masih ada harapan lagi...


Namun, set ke lima yang kujangkakan bakal dimenangi mudah oleh Federer berjaya dikuasai mudah oleh Nadal. Dia kelihatan mendapat tenaga dan semangat baru manakala Federer tampak semakin hilang pedoman kerana apa yang cuba beliau lakukan serba tak menjadi malah diselang selikan dengan kesilapan yang memberikan mata mudah terhadap Nadal. Keputusan set akhir, Nadal mudah menang 6-3.

Memang aku salute sportmanship yang ditunjukkan oleh Nadal dan Federer ni. Walaupun Federer kalah, dia tetap pujaanku manakala Nadal pula tampak semakin sukar ditandingi kerana tenaga dan semangat luar biasa yang ada padanya kelihatan lebih berbisa berbanding skil yang ada pada Federer.


Buruk betul rupa hero sorang ni bila nangis.kesian...hehe

Alangkah bagusnya kalau ada dikalangan ahli sukan di negara kita ni mempunyai ciri ciri seperti mereka. Tak usah sebut pasal team bolasepak yang berangan hendak melayakkan diri ke piala dunia tapi masih di takuk lama, tapi bagaimana sukan lain? Setakat ini cuma skuasy yang menampakkan konsistensi dalam mengharumkan nama negara dan membayar balik pelaburan rakyat malaysia terhadap mereka. Yang lain? Ada lah, team basikal yang sekejap naik sekejap turun. Begitu juga team badminton dan bowling.

Di mana silapnya? Siapa yang bertanggungjawab? Persoalan yang sering diajukan namun tak punya jawapan muktamad. Duit rakyat dibelanjakan sewenangnya oleh atlit atlit dengan berbagai jenis peruntukkan, tetapi hasilnya? Nilaikan lah sendiri. Yang peliknya semakin banyak duit dibelanjakan saban tahun walaupun hasilnya tak seberapa. Alangkah baiknya kalau duit itu digunakan untuk golongan yang tak berumah? Golongan yang merempat di kaki lima semata mata mahu mendapatkan ihsan pasti sangat bersyukur kalau dana tersebut digunakan untuk mereka.

Ini tidak, pemimpin yang dikatakan berjiwa rakyat megah dengan rumah bagaikan istana. Bersenang lenang di tampuk kekuasaan masing masing tanpa ada rasa bersalah terhadap rakyat yang masih merempat tak cukup serba serbi. Bila tiba masa untuk meraih undi baru menebalkan muka menjenguk rakyat yang sudah semakin muak dengang janji manis mereka ini. Kata nak sama sama susah dengan rakyat, tapi, kehulu kehilir diiringi berpuluh polis trafik supaya mereka ini dapat bergerak lancar tak kira masa sedangkan kita rakyat yang mengundi dipandang seperti sampah yang bersesak dalam traffic jam. Apa nak jadi dengan Malaysia ni nanti, tunggu dan lihat aje lah. Tak pasal pasal aku membebel ke politik plak.huhu...

P/S: Kepenatan menonton game Federer-Nadal dan takut kekalahan turut menimpa Liverpool memaksa aku tidur awal malam tadi kerana tak sanggup lagi meratap kekalahan atau keserian team Liverpool ni. Mujur pagi pagi lagi aku check result, menang bergaya 2-0 pasukan kesayanganku ini.hehe




Tuesday, 20 January 2009

Penyaram popular di Serian



Kuih Penyaram | Berikut merupakan petikan dari Utusan Malaysia hari Jumaat lepas mengenai kuih penyaram yang sememangnya sangat lah lazat tapi gagal didapati di semenanjung ini. Namun bukan kelazatan penyaram yang membuatkan aku mengopy dan mengepeskan artikel berekenaan tetapi disebabkan bonda tercinta ditemuramah oleh wartawan berkenaan, malah, wajah beliau turut terpampang dalam artikel tersebut. Amboi, bukan main lagi bondaku kena interbiu. Kecoh je kan, belum masuk tv lagik? Mesti ada yang meluat nanti ni baca apa yang aku bebelkan. Lantak lah, ini blog sukabebel. Jadi suka hati aku la nak bebel apa kan?hehee
Memandangkan kesibukan di tempat kerja yang semakin menjadi jadi sejak encik manager meninggalkan kompeni ini, masa untukku berblog sangat terhad dan sukar untuk aku menumpukan segenap minda untuk membebel seperti biasa. Dengan adanya artikel ini kuterbitkan disini, boleh lah mengelakkan blog ini daripada berkulat kan?hehe



Oleh SOPI SAMAILE


KUCHING 15 Jan. - Bandar Serian, kira-kira 60 kilometer dari Kuching bukan hanya terkenal dengan buah durian hingga didirikan dua replika besar buah itu di bulatan masuk dan di tengah-tengah bandar kecil ini.

Malah, ada yang memberitahu bandar Serian adalah tempat untuk memperoleh udang galah yang sebesar-besarnya dan tidak kurang juga popular dengan kaloi. Namun yang jelas daerah ini mengumpul segala macam hasil tani dari sungai dan darat di sekitarnya.

Bagaimanapun, jangan lupa bukan itu sahaja yang mampu diperoleh di bandar kecil ini tetapi lebih menariknya adalah sewaktu melalui lorong-lorong di pasar terbuka Serian menyaksikan susunan teratur kuih tradisional dari satu gerai ke satu gerai.

Lebih menarik perhatian adalah hampir kesemua gerai kira-kira 20 buah itu menjual sejenis kuih yang sama iaitu dipanggil sebagai kuih 'penyaram' dan digelar Mexican Cap oleh para pelancong asing.

Meskipun hampir semua peniaga kuih tradisional menjual kuih penyaram dalam jumlah yang banyak, namun ia masih mampu dijual habis kerana kuih ini seolah-olah mempunyai keunikan tersendiri.

''Selera tidak sama, tangan yang membuat pun lain-lain walaupun rupa bentuk kuih memang jenis yang serupa, namun rasa kelazatan serta aromanya tidak mungkin akan sama," kata Zainab Amit, 50, seorang peniaga kuih tradisional ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Zainab memberitahu, tidak dinafikan kuih penyaram adalah antara kuih tradisional utama yang dijual oleh hampir kebanyakan peniaga di sini dan ia bukan satu perkara membimbangkan menjual kuih yang sama kerana penyaram memang mempunyai permintaan tinggi di sini.

Katanya, kuih penyaram mempunyai rasa yang berbeza dengan yang lain kerana pembuat kuih ini mempunyai petua dan resepinya tersendiri menyebabkan kadang- kala kuih seseorang itu menjadi pilihan oleh orang tertentu.

Beliau berkata, kuih penyaram ini perlu dihasilkan dengan cukup sukatan tepung, gula, air bersih serta gula apong, maka baru akan menjadi kuih yang baik dan jika salah satu bahan sukatannya tidak betul, jadi rosak lah kuih itu.

''Bunyinya macam aneh memandangkan rupa bentuk kuihnya yang simple ini tetapi syaratnya pula agak berat dan ia adalah realiti dalam menghasilkan kuih penyaram yang baik.

"Malah, tepung yang telah digaul bersama bahan-bahan tadi perlu diperam beberapa jam sebelum kuihnya boleh digoreng dalam kuali kecil khas dan penyaram begitu enak dimakan ketika masih panas," katanya yang mempelajari membuat kuih ini daripada ibunya.

Beliau menambah, mungkin disebabkan tepung kuih ini diperam, maka timbul idea orang dahulu menggelar kuih ini sebagai kuih penyaram.

Zainab memberitahu, beliau mampu menghasilkan kuih penyaram hingga mencecah 200 keping dan boleh dijual habis dalam masa setengah hari dengan sekeping berharga 25 sen sahaja.

Selain kuih penyaram, Zainab juga menghasilkan kuih tradisional yang lain seperti pulut panggang, wajik, seri muka, kuih lapis, kuih cakui, cucur udang, kuih lenggang, karipap dan kuih rangin.

Tambahnya, kuih tradisional yang dijual di pasar terbuka di situ masih murah jika dibandingkan di tempat-tempat lain terutamanya di Kuching.

''Meskipun pada zaman sekarang telah muncul makanan-makanan yang baru seperti roti, biskut dan sebagainya, namun saya tetap yakin bahawa kuih tradisional ini mampu bertahan kerana ia mempunyai keistimewaannya tersendiri," katanya.

Pada masa yang sama, Zainab berharap kerajaan dapat membantu peniaga kuih tradisional sepertinya dengan menyediakan prasarana yang lebih baik untuk para peniaga mengetengahkan kuih tradisional masing-masing agar ia tidak hilang ditelan zaman.